Piramid Makanan yang Seimbang |
PEMAKANAN yang baik
semasa kanak-kanak penting untuk menyokong keperluan anak anda yang sedang
membesar. Di samping menambahkan ketinggian dan berat badan, anak-anak juga
sangat aktif secara fizikal. Mereka memerlukan tenaga dan nutrien yang
mencukupi untuk tumbesaran, memelihara fungsi tubuh dan kesihatan keseluruhan.
Apabila anak anda berinteraksi secara aktif dengan persekitaran dan orang
ramai, mereka terdedah kepada pelbagai ancaman kesihatan seperti jangkitan
bakteria dan virus. Pemakanan yang baik dapat membantu mengekalkan sistem imun
yang kuat serta menggalakkan pemulihan lebih cepat jika jatuh sakit.
Pemakanan
yang baik juga penting untuk perkembangan mental kanak-kanak. Otak dan sistem
saraf anak anda memerlukan nutrien mencukupi untuk berfungsi secara optimum.
Dengan sokongan pemakanan yang baik, anak anda akan lebih bersedia untuk
belajar dan cemerlang di dalam akademik. Bagi mencapai tumbesaran dan
perkembangan yang optimum, anak anda memerlukan pelbagai nutrien untuk pelbagai
fungsi, yang boleh didapati daripada diet hariannya.
Karbohidrat
Sumber tenaga
terbaik untuk tubuh.
Karbohidrat (seperti
kanji, gula) akan dipecahkan kepada glukosa serta digunakan untuk menggerakkan
fungsi tubuh dan membekalkan tenaga. Glukosa adalah satu-satunya sumber tenaga
untuk otak anak anda. Sumber karbohidrat kompleks yang baik termasuk beras,
gandum, oat, barli dan produk-produk yang diperbuat daripada bahan-bahan ini
(seperti mihun, kuetiau, roti, biskut dan bijirin sarapan), dan juga ubi
seperti kentang, keledek dan keladi.
Protein
Asas binaan tulang,
darah dan otot.
Membaiki, mengganti
dan menghasilkan tisu untuk memastikan tumbesaran optimum.
Protein diperbuat
daripada asid-asid amino. Tubuh memerlukan 22 asid amino: 14 boleh dihasilkan
di dalam tubuh dan lapan mesti diambil daripada makanan (asid amino perlu).
Protein daripada sumber haiwan (seperti ikan, ayam itik, daging, telur, susu
dan produk tenusu) dan sumber tumbuh-tumbuhan (seperti kekacang, kacang pea dan
lentil).
Lemak
Membekalkan tenaga,
vitamin-vitamin larut lemak dan asid-asid lemak penting yang hanya boleh
didapati daripada makanan.
Mengekalkan suhu
tubuh dan menghasilkan hormon serta sel-sel dalam tubuh.
Sumber lazim adalah
minyak masak (seperti minyak sawit, minyak kacang soya). Lemak-lemak tak tepu,
seperti daripada ikan, legum, kekacang dan biji-bijian merupakan sumber lemak
diet yang baik. Kurangkan pengambilan lemak tepu daripada sumber haiwan seperti
ghee, lemak khinzir dan juga kelapa.
Vitamin dan mineral
Mengekalkan
tumbesaran dan kesihatan keseluruhan, kerana kedua-duanya menjalankan
fungsi-fungsi penting di dalam tubuh.
Diperlukan dalam
kuantiti kecil, tidak boleh dihasilkan dalam tubuh dan hanya boleh didapati
daripada makanan.
Keperluan boleh
dipenuhi dengan memakan pelbagai jenis makanan daripada lima kumpulan makanan
dalam piramid makanan.
Air
Mengekalkan
keseimbangan cecair tubuh.
Menyerap haba
metabolik di dalam tubuh. Berfungsi sebagai medium pengangkutan di dalam tubuh
(seperti menghantar nutrien ke organ-organ di dalam tubuh dan menyingkirkan
bahan kumuh daripada tubuh).